Ibadah menurut bahasa bermaksud ketaatan. Manakala menurut istilah syara’ bermaksud dengan kemuncak ketundukan (menurut Sheikh Muhammad Abduh).[1]
Yusuf al-Qardhawi juga menjelaskan bahwa : Kata “ibadah” diambil dari bahasa Arab yang secara etimologi berasal dari akar kata ﻋﺑﺎﺪﻩ- ﻋﺑﺪ – ﻴﻌﺒﺪ -ﻋﺑﺪ yang bererti taat, tunduk, patuh, merendahkan diri, dan hina. Kesemua pengertian itu mempunyai makna yang berdekatan. Seseorang yang tunduk, patuh, merendahkan diri, dan hina di hadapan yang disembah, disebut abid (yang beribadah). Budak disebut abd, kerana dia harus tunduk dan patuh serta merendahkan diri terhadap majikannya.[2]
Ibnu Taimiyyah menyatakan ibadah dalam Islam itu mengandungi unsur ketundukan atau ketaatan yang digabungkan dengan unsur kecintaan. Ibadah dalam Islam mengandungi makna kemuncak ketundukan, kemuncak ketaatan dan kemuncak kecintaan. Beliau berkata lagi: Sesiapa tunduk dan kepada seorang manusia dengan keadaan benci, dia tidak menjadi hambaNya. Begitu juga jika dia mencintai sesuatu tanpa ketundukan kepadaNya, ia juga bukan ibadah. Diumpamakan cinta seseorang kepada anaknya dan kawan-kawanya. Oleh itu salah satu unsur tersebut (tunduk dan cinta) tidak cukup untuk dipanggil ibadah kepada Allah s.w.t. Seorang hamba mestilah mencintai Allah s.w.t mengatasi segala kecintaan yang lain.
Firman Allah s.w.t, yang bermaksud:
Katakanlah: “jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya”. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
(Surah al-Taubah: 24)
Firman Allah SWT, “Tidak aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah kepadaku”. (Ad Dzariat: 56)
Dalam ayat ini, Allah telah berfirman bahawa manusia dan jin adalah sama-sama makhluk Tuhan dan mempunyai tanggungjawab sebagai hamba dan harus melaksanakan apa yang diperintahkanNya. Allah menegaskan suatu hakikat yang sayugia disedari atau dipatuhi dalam ayat yang ringkas dan jelas ini bahawa Allah tidak berhajat kepada makhluk bahkan kita sebagai makhluklah yang sentiasa berhajat kepadaNya dan semuanya terletak di kekuasaanNya.
Keistimewaan Islam dalam Ibadah
Islam dari segi bahasa: Ketundukan dan penyerahan hanya kepada Allah Taala. Islam pula menurut syarak: Ia tegak berdiri diatas 5 asas iaitu; mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang pada waktunya, menunaikan zakat, berpuasa di bulan ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah bagi yang mampu.
Ibadah Islam adalah ibadah yang istimewa dan unik, serta amat berbeza daripada ibadah dalam agama lain. Ia bersifat Rabbani, syumul, berseimbangan dan lain-lain ciri yang agung. Berikut dinukilkan beberapa keistimewaan tersebut:
1. Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah S.W.T.
2. Pembebasan ibadah daripada perhambaan kepada tokoh agama
3. Ikhlas hati asas makbul ibadah
4. Ibadah hanya dengan kaifiyyat yang disyara‘kan
5. Perimbangan antara ruh dan jasad
6. Mudah dan menghapuskan kepayahan
Keistimewaan Islam secara umumnya jelas dalam pelbagai cara kita beribadat kepada Allah s.w.t sama ada dalam ibadah khusus atau ibadah umum. Ia diterangkan dalam lima perkara iatu rabbaniyah, syamil, wa’qii, tinggi atau agung dan universal. [3]
a) Rabbaniyah
Islam adalah agama Allah, agama wahyu yang tidak ada campur tangan sesiapa. Islam sebagai agama rabbani sudah tentu mempunyai sifat-sifat atau ciri-ciri yang sesuai dengan Penciptanya yang Maha Tinggi. Islam disebarkan oleh rasul pilhan Allah yang maksum dan mempunyai kitab yang lengkap. Ajaran Islam adalah menyeluruh, sempurna dan sesuai untuk setiap tempat, masa dan keadaan. Bagaimana hebat dan sempurnanya Pencipta, begitulah sifat Islam yang sempurna. Oleh itu, islam berbeza dengan agama lain yang dicipta oleh manusia yang bersifat lemah seperti agama Budah, Sikh, Hindu dan lain-lain yang diistilahkan sebagai agama budaya.
b) Syamil dan Kamil
Kemutlakan dan kesempurnaan sifat-sifat Allah adalah tidak terbatas. Islam bersifat syumul dan kamil, bertitik tolak dari pengiktirafan bahawa segala sifat-sifat kesyumulan dan kesempurnaan itu bermula dari Allah. Dalam konteks kesyumulan Islam, Islam bukan hanya agama berbentuk teori semata-mata yang menyangkut kepada persoalan hati dan fikiran, bukan juga berbentuk lisan yang memfokus kepada pertuturan sahaja, malah lebih dari itu kerana Islam adalah agama yang mencakupi seluruh kejadian manusia dalam seluruh bidang kehidupannya. Begitu juga dengan kesempurnaan Islam adalah berasal daripada kesempurnaan Penciptanya. Seluruh sistem yang ada dalam Islam adalah bersifat sempurna dan tidak ada cacat celanya. Dalam konteks ini seluruh sistem Islam sama ada yang berbentuk teori mahupun praktikal adalah amat sesuai dengan keadaan, suasana dan rupa bentuk kehidupan manusia dan hubungkaitnya dengan alam seluruhnya tanpa mengira masa dan tempat.
c) Wa’qii atau praktikal
Islam adalah agama yang membicarakan persoalan hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan makhluk lain dan hubungan manusia sesama manusia. Bagi kelangsungan dalam memakmurkan muka bumi Allah dan menetapkan hukum-hukum Allah, manusia selain berinteraksi dengan Allah dalam ibadah khusus, manusia juga berinteraksi sesama manusia dan makhluk lain dengan sistem hidup yang lengkap ini. Islam adalah agama yang bukan hanya berteori, tetapi ia amat praktikal dan didalam batas kemampuan manusia.
d) Tinggi atau Agung
Keagungan dan ketnggian Islam adalah titik tolak dari keseluruhan sifat kesempurnaan Allah iaitu Keesaan-Nya dan Ketunggalan-Nya. Islam agung kerana tidak ada agama yang setanding dengannya. Hanya ia satu-satunya agama yang diperakui di sisi Allah swt. Dalam hal ini Allah s.w.t berfirman dengan maksud:
Sesungguhnya agama yang diredhai disisi Allah hanyalah Islam. (ali-Imran:19)
Ketinggian Islam adalah dari Penguasa Yang Maha Tinggi. Islam disifatkan sebagai satu-satunya agama yang mempunyai kedudukan yang tertinggi jika dibandingkan dengan agama-agama lain yang ada di dunia ini. Malah adalah tidak layak untuk membandingkan Islam dengna agama-agama budaya ciptaaan manusia. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud, “Islam itu tinggi dan tidak akan ada yang lebih tinggi darinya’.
e) Universal atau sejagat
Islam bersifat universal. Ia tidak diturunkan untuk sesuatu kaum atau kepada sesuatu tempat yang tertentu sahaja, malah ia diturunkan untuk seluruh alam. Perutusan Rasullah s.a.w sebagai penyebar kepada agama suci ini adalah semata-mata untuk membawa rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah yang bermaksud:
Dan kami tidak mengutuskan Engkau, melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam. (Al-Anbiya’:107)
Allah menegaskan bahawa penetapan kepada sesuatu tempat atau arah tertentu adalah tidak menjadi ukuran muktamad kepada penilaian buruk dan baik seseorang disis-Nya. Firman Alllah yang bermaksud:
Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari kemudian…
(Al-Baqarah:177)
Islam juga tidak diutuskan kepada kaum atau puak tertentu. Oleh itu Islam tidak menilai kemulian seseorang itu berdasarkan kepada keturunan, warna kulit wajah atau rupa bentuk, Allah memberikan penilaian muktamad adalah berdasarkan ketakwaan dan kepatuhan. Firman Allah yang bermaksud:
… Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu ialah orang yang paling bertaqwa di kalangan kamu… (Al-Hujurat:13)


No comments:
Post a Comment